Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan
akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang,
dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh
keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.
Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum
dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari
ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap
langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita
terutamanya ibu bapa kita.
Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan
kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang
menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik
diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang
baik untuk teruskan kehidupan.
Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan
dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga
dengan kebahagiaan.
Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari
arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan.
Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu.
Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.
Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran
yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan
tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka
ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.
Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita
perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang
mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang
melakukan kesilapan.
Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah
keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah
kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan
kesilapan.
Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan
kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin,
kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.
Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi
kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan
dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah
tersentuh dan mulut mudah memuji.
Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu
diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak
melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat
tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.
Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan
kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi
yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.
Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak
seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif
antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita
cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.
Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang
terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan.
Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita
usahakan?
Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.
Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh
dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat
ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini
cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita
memiliki sosial dan kekeluargaan.
Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli
keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli
keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka,
jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan
susah.
Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke
arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan
kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan,
kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan
apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.
Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T
dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan
kita menuju kematian.
Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi
seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang
berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang
menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang
suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap,
menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke
arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi
individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah
S.W.T tercinta.
Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah
kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di
Akhirat.
Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!
Biodata Penulis
Zulakmar Hazwan bin Zulkhefli Beliau merupakan
seorang perunding kejuruteraan yang banyak berkongsi ilmu dari
pengalaman,pemerhatian serta pemikiran. Sambil merantau dari satu negara
ke satu negara kerana tugasan kerja, beliau mencatat nota dan menulis
untuk berkongsi apa dibenak fikiran dan apa yang dialaminya untuk
dimanfaatkan bersama. Layari hasil perkongsian di http://www.notafikir.com.
No comments:
Post a Comment