Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis
Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuh,
Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap
ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika
tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan
dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang
saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga
keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar
tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf
di sisi rakyat.
Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan
dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita
aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika
pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang
cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan
fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja
mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan
polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’.
Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada
bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis
berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan
dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu
tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari
Allah. Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui
lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka
menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang
(sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah
al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak
menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan
hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang
sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak
polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah,
kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang
menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang
sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah
kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang
kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari
tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca
keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas,
kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang
sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh
memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti
saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja
menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara,
bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang
yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa
selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di
balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali
pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di
hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa
itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika
saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit
mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang
yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya
dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang
yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh
al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang
yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah
menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman
Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si
mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.
Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang
dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya
dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim
ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan
berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.
Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua
tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang
dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya
melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu
terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka
terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka
dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana
bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka
yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti
yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat
manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan
tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak
kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat,
sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas
perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim
yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada
hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta
iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka
akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya
kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke
atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihati Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’.
Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan
al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah.
Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata
‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala
menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi
keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi
agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah
mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah
sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada
bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada
bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu
malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang
Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini,
dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.
Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan
Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan
ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia
dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah,
sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai
‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam
menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”.
(rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa
tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota
polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan
rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan
kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika
itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”.
Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa
pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci.
Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada
kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat
awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara,
tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari
segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah
merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas
dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara!
Selamat bertugas!
Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin,
Mantan Mufti Negeri Perlis Darus Sunnah
Credit To: http://gazebodaily.net
No comments:
Post a Comment