Pages

Sunday 1 January 2012

Apakah Ada Lagi Ketakutan Yang Menanti?

“Imam, jangan balik ke Jordan dahulu. Tiada orang nak mengimamkan Solat Hari Raya Aidiladha” kata Jamal.
Saya termenung seketika.
Hati memang berat mahu ke Jordan. Tetapi saya wajib ke sana. Tahun ini adalah tahun terakhir untuk saya mencuba. Jika saya gagal melepaskan diri daripada pengajian, maka 8 tahun perjalanan menjadi sia-sia. Malah perlu membayar hutang pengajian mencecah ratusan ribu ringgit.
Kelas sudah tiga tahun selesai.

CGPA sudah tercatat.
Hanya ujian hafalan al-Quran. 2 juzuk sudah selesai. Hanya tinggal 4 juzuk yang berbaki.
HANYA, sebuah perkataan yang penuh bebanan. Ia bukan sebarang HANYA.
“Tetapi saya perlu ke Jordan segera” saya membalas lesu.
“Bila peperiksaan al-Quran Imam?” Jamal bertanya lagi.
“Insya Allah bulan Jun” saya memberitahu.
“Oh, masih lambat lagi. Ada lagi hampir dua bulan” Jamal tersenyum. Berseloroh.
“Dua bulan untuk menyemak 4 juzuk. Sangat sedikit. Saya dah tua!” saya menjawab sambil menyemak kertas jawapan peperiksaan murid Belfast Islamic School.
“Hafalan Imam sudah baik. Hanya musibah demi musibah yang menghalang Imam hadir ke peperiksaan” ujar Jamal. Beliau tahu apa yang telah dan sedang saya alami.
“Kalaulah saya ada duit, tentu saya akan tunggu di Jordan, biar pun terlepas tempoh ujian yang saya sasarkan. Apakan daya, duit habis kepada kemalangan dan pembedahan tahun-tahun lalu” saya mengeluh.
“Insya Allah kali ini boleh. Tapi bolehlah ya. Tolong imamkan solat kami. Susah nak cari Imam. Lagi pun, bukankah Allah sudah berjanji Intansurullah yansurkum!” usik Jamal.
“Bukan apa, visa saya pun sudah hampir tamat. Kalau tunggu sampai Aidiladha, sebaik sahaja selepas raya, saya mesti SEGERA terbang ke Amman” saya menyatakan kerisauan utama. Overstay adalah perkara terakhir yang saya mahu ia berlaku ke atas diri ini.
“Jika kamu menolong Allah, Allah pasti akan menolong kamu…..” ayat 7 Surah Muhammad itu terngiang-ngiang di telinga.
Puas Jamal memujuk. Akhirnya saya mengalah.

SELESAI AIDILADHA

“Allahu Akbar!” saya tergamam.
“Kenapa?” Min bertanya.
“Flight penuh. Waiting list pun tak boleh!” saya memberitahu.
“Habis, macam mana ustaz?” Min turut resah.
Next flight baru boleh confirm” saya merenung tiket pulang ke Amman dengan penerbangan Olympic melalui Athens di Greece itu.
“Oklah tu. Masih sempat mengejar peperiksaan” kata Min lagi.
“Masalahnya, penerbangan berikutnya itu, dua hari selepas visa tamat!” saya rasa lemah. Terduduk.
“Berat tu!” balas Min.
Kami sama-sama terdiam.
Saya nekad. Bersama risiko yang ada, saya bermusafir ke London dengan menaiki bas dan kapal dari Belfast. Mahu mencuba nasib, kalau-kalau ada rezeki untuk menukar penerbangan andai diuruskan di kaunter berbanding melalui telefon.
Di London, ikhtiar saya bertemu jalan buntu. Saya segera pulang ke Belfast untuk mengambil barang dan bersiap untuk berlepas ke Amman.
“Sheikh, singgah Manchester sekejap. Ada tok-tok guru kita singgah” ujar seorang teman yang mendapat tahu perjalanan saya.
“Hmm… singgah sekejap sahajalah. Ana nak segera ke Belfast ambil baju. Ni pun ada sehelai kain pelekat sahaja di dalam beg” saya menjawab.
Singgah sebentar di Manchester, saya kemudiannya mengambil bas petang untuk meneruskan perjalanan ke Belfast. Hati berdebar-debar juga, walaupun saya tahu di Lapangan Terbang England, untuk keluar meninggalkan negara tiada Imigresen yang akan merekodkan tarikh kita keluar. Tetapi ia bukan kesempatan untuk overstay. Ia tetap satu kesalahan.
Sepanjang perjalanan, hati saya resah.
“Ya Allah, ini peluang terakhirku. Lepaskanlah aku daripada beban ini. Aku ingin berjuang dan berbakti. Tetapi sudah 8 tahun aku terperangkap. Aku hamba-Mu yang lemah. Tolonglah aku” saya bermonolog sendirian. Wajah sengaja saya pekupkan di dinding bas yang sejuk. Ada air mata panas bertakung, tumpah daripada sekeping hati yang bingung dan sepi.
Terbayang wajah emak di kampung.
Teringat pelukan emak di Subang.
“Empat tahun sahaja emak!” saya berkata.
Lupa menyebut Insya Allah.
Kini sudah masuk tahun kelapan. Saya masih di awangan.

KEJUTAN DI CARLISLE

Saya baru sahaja melepasi bandar Carlisle.
Tinggal sejam sahaja lagi sebelum tiba di pelabuhan Stranrae. Saya mahu ke Belfast mengambil baju dan kelengkapan, sebelum berlepas ke Amman esok. Insya Allah.
Tiba-tiba jantung saya bagai hendak meletup.
Tergamam.
Ya Allah!
Di persimpangan keluar lebuhraya, bas yang saya naiki ditahan oleh sebuah road block.
Polis?
‘JPJ’?
Allahu Akbar. Bagai petir menyambar kepala… Imigresen!
Seluruh tubuh saya menggeletar.
Tamatlah hidupku!
Allah!
Dosa? Kaffarah? Musibah? Mehnah? Apa semua ini?
Can  I see your passport, mate?” pegawai itu meminta.
Tangan saya menggeletar menyerahkannya.
Pegawai itu membelek dan memerhatikan muka saya. Renungannya tajam.
Your visa is expired! Yesterday!” katanya sambil menunjukkan muka surat yang dirujuk.
I know. I’m leaving tomorrow. This is my flight ticket. Confirmed!” saya memberi penjelasan.
Jantung berdegup kencang. Berdoa…
Unfortunately, we have to arrest you!” kata pegawai itu, tegas.
Inna Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’oon.
Hidup saya musnah!
Saya dibawa masuk ke sebuah van. Seluruh barangan saya dirampas termasuk jam tangan dan telefon bimbit. Air mata mengalir, penuh sesal, kesal.
Jika saya ditakdirkan masuk penjara, biarlah kerana perjuangan. Biarlah kerana sesuatu yang berbaloi. Bukan kerana visa tamat! Ia memalukan. Tiada makna!
Saya dibawa bersama dengan beberapa orang lagi tahanan lain ke Lokap di Balai Polis Stranrae. Di situ, saya dikurung di dalam sebuah bilik berseorangan. Tiada tingkap, tiada cahaya. Saya hilang deria untuk mengenal masa. Cuaca juga amat sejuk. Saya hanya dibekalkan sebuah tilam getah di lantai bersama selimut guni.
“Ya Allah, tolonglah aku!” hati saya merintih.
Badan terasa lemah mengerjakan solat. Qiblat entah ke mana. Tetapi Allah sentiasa ada, bersama.
Dalam keadaan tubuh badan yang amat letih, saya cuba melelapkan mata. Cuba memendekkan masa. Mahu segera sampai ke penjelasan. Apa yang sedang berlaku.
Musa sudah hilang sabar mahu bertanya kepada Khidir.
Tetapi diri ini bukan Musa. Dan di hadapanku hanya dinding tembok empat penjuru.
Sepi…

KEESOKAN HARI 

Mr. Abdul, please come with me!” seorang anggota polis membuka pintu lokap.
Saya yang tidur bersandar di dinding selepas mengerjakan solat Subuh, bangun perlahan seperti yang diarahkan.
Matahari menyinsing. Nampak di dinding jam menunjukkan pukul 8 pagi. Ertinya saya telah ditahan di lokap itu selama 9 jam.
Saya telah dimasukkan ke sebuah van putih. Van itu agak unik kerana di dalamnya, saya dimasukkan pula ke sebuah bilik kecil, sebesar bilik air di dalam pesawat. Hanya ada sebuah tingkap kecil sebesar kotak rokok untuk saya melihat ke luar. Di situ saya termenung. Tiada apa yang mampu saya lakukan. Hanya berserah kepada Allah.
Ke mana saya dibawa?
Tiada jawapan.
Saya juga tidak bertanya.
Apa yang kelihatan, hanyalah pantai yang indah di sepanjang sisi lebuhraya. Keindahan yang tidak dapat menghilangkan taufan dan ribut di hati.
Terkenang wajah emak, wajah tunang, wajah keluarga, wajah sahabat-sahabat di Belfast.
Terbayang Universiti Mu’tah.
Terbayang wajah pensyarah-pensyarah.
Segalanya.
Selepas lebih dua jam perjalanan, van yang membawa saya berhenti. Tingkap kecil itu tadi juga telah ditutup dari luar. Saya tidak pasti berada di mana. Hanya yang kedengaran adalah bunyi dentuman pintu besar sebanyak dua kali. Bunyi yang saya tidak pernah dengar dalam hidup yang nyata.
Hanya di Green Mile!
Di Shawshank Redemption!
  وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ . وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ 
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [Al-Baqarah 2: 155]
Welcome to HM Prison, Greenock!” seorang pegawai penjara merenung tajam ke arah saya.
“Selamat datang ke Neraka!” itulah yang terdengar di telinga.
Allah…
Saya pasrah!


"Erti Hidup Pada Memberi"

No comments:

Post a Comment